Home > Menu > Karya > Artikel > Mahasiswa Kita, Masa Depan Dunia

Mahasiswa Kita, Masa Depan Dunia

MAHASISWA KITA, WAJAH MASA DEPAN DUNIA.

Sudah acap kali kita dihimpit dengan kenyataan sebegini. Benar,kitalah mahasiswa yang bakal  menjadi pengerak nadi negara pada masa hadapan. Kalau bukan kita, siapa lagi? Maka adalah perlu bagi seseorang mahasiswa berani tampil dengan satu pakej yang lengkap dan bersiap sedia. Bukan hanya berperisaikan segulung ijazah semata-mata. Ada segelintir antara kita  menyatakan prinsip mereka untuk tidak menghiraukan apa-apa perkara selain belajar. Bukanlah menjadi sesuatu yang salah. Tetapi sikap sebegini hanya akan merugikan seseorang kerana sudah pasti setiap insan dianugerahkan sesuatu kebolehan dan jika digilap dengan cara yang baik sudah pasti kebolehan itu menjadi sesuatu yang berfaedah dalam kapasiti yang maksimum. Kita tidak mahu mahasiswa kita ketinggalan dalam arus perdana. Kita mahu mereka mampu menongkah arus dalam gelombang persaingan sengit dunia masa kini.

Sedar atau tidak.

Setiap antara kita perlu sedar akan tanggungjawab kita. Tanpa kesedaran dari hati tidak mungkin kita akan mampu untuk berdiri dan bersedia menghadapi cabaran masa depan dan untuk memperoleh kesedaran yang jitu, perkara pokok yang perlu ada dari setiap dari kita adalah berfikir. Mudah bukan?

Budaya berfikir

Cuba kita lihat kembali kebelakang, apakah persediaan yang telah kita lakukan untuk menghadapi dunia luar? Mahasiswa kita hanya banyak berseronok sahaja. Pada mereka, zaman muda sekali sahaja maka perlu dinikmati setiap saat dengan  bergelak ketawa. Maka,banyaklah masa terbuang begitu sahaja. Sering kita lihat, mahasiswa sekarang jauh terleka maka budaya berfikir kurang dititkberatkan. Contohnya, jika ditanya apakah pendapat tentang masalah peperangan dunia, masalah kemiskinan yang masih menular, peperangan yang kian tak sudah dan macam-macam lagi, sudah pasti tidak semua mampu memberi pendapat masing-masing. Sikap kurang berfikir dan hanya memikirkan tentang diri sendiri harus dikurangkan untuk memastikan dunia bakal ditadbir dengan baik pada masa hadapan.

Menjadi diri sendiri dalam lautan variasi manusia.

Selalu kita lihat, budaya “mengikut saja” begitu tegar dalam kalangan mahasiswa sekarang. Tidak berani untuk menyatakan pendapat masing-masing dan risau jika pendapat itu ditolak oleh yang lain. Hatta jika pensyarah bertanya di dalam kelas sekalipun, semuanya senyap  membisu dan sekadar menjawab dalam hati. Padahal, sebenarnya mahasiswa mempunyai pelbagai pendapat yang kreatif dan jika diolah atas panduan yang baik sudah tentu mampu memberi impak yang sangat besar. Jika diteliti, manusia yang menjadi diri sendiri dilihat tidak mudah tertekan kerana mereka bukan berpura-pura dan bukan sekadar bercakap atau melakukan apa-apa perkara hanya untuk memuaskan hati orang lain.

Batu asas

Namun, walau apapun cara yang dilihat terbaik dan mampu dapat mempersiapkan mahasiswa kita menghadapi cabaran masa depan, batu asas yang tidak boleh dilupakan sudah tentu pendirian dan batu pengikat kita kepada agama. Apabila hidup ini sentiasa berlandaskan kepada Allah, sudah pasti hidup seterusnya dapat dijalani dengan lebih mudah walau apapun cabaran yang bakal mendatang.

Disediakan oleh:

Nur Husna binti Samat,

Unit Artikel, Jabatan Web mediaPERUBATAN PCZ.

Tinggalkan komen anda