Home > Menu > Karya > Artikel > Seribu Langkah Dari Satu Langkah

Seribu Langkah Dari Satu Langkah

MUMTAZ DARI RUMAH
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah hari ini kita masih dipilih oleh Allah untuk menikmati nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Agak-agak bagaimana permulaan hari kita? Adakah hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam?
InsyaAllah, kali ni kita akan bicarakan mengenai LANGKAH.
Sahabat-sahabat sekalian, pasti pernah dengar bukan? ‘Seribu langkah bermula dengan satu langkah’.
Langkah apa yang kita mahukan? Langkah seribu kita untuk mencapai keredhaan Allah. Allah telah berfirman yang bermaksud,
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan” (surah al-Alaq ayat 1).
Ini juga termasuk dalam langkah-langkah mengejar cita-cita kita iaitu MUMTAZ DARI RUMAH. Tiada yang mustahil, bukan? Tetapi, adakah kita telah mengorak langkah itu? Sama-sama kita fikirkan.

Allah telah kurniakan kita nikmat akal, yang menjadikan kita sebaik-baik kejadian. Tetapi adakah kita sudah mengambil langkah dengan menggunakannya secara berfaedah dan membuktikan bahawa kita syukur dengan kurniaanNya? Cuba fikirkan, berapa peratus telah kita gunakan dengan sungguh-sungguh?

Allah telah kurniakan kita nikmat penglihatan, yang membolehkan kita melihat segala huruf-huruf untuk kita membaca dengan mudah. Tetapi, adakah kita manfaatkannya dalam setiap langkah-langkah kita? Sepanjang cuti ini, masih terkirakah ilmu-ilmu yang dibaca oleh mata kita? Andai ya, ya Allah, betapa ruginya diri ini.

Allah telah kurniakan kita nikmat pendengaran, yang membolehkan kita mendengar guru-guru kita mengajar. Tetapi adakah kita telah membuka langkah untuknya? Kerana seperti yang kita tahu, dengan pendengaranlah kita boleh bertutur kata.

FirmanNya yang bermaksud,
“Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbatan di kedua telinganya, maka gembirakanlah dia dengan azab yang pedih.” (Luqman, 7)
Adakah kita betul-betul beriman dengan nikmat ini?
Allah telah memberikan kita nikmat kesihatan tubuh badan. Melihat orang-orang kurang upaya dan sakit menjadikan kita bersyukur dengan keadaan kita. Tapi apakah kita menggunakannya dengan sebaik-baiknya dalam setiap langkah kita?
Allah telah memberikan kita nikmat masa lapang. Cuba kita hitungkan, kita muhasabah. Adakah setiap detik terisi dengan penuh manfaat? Cukup sudah berlast minute, beri peluang untuk diri sendiri bermula dari awal.
Sahabat-sahabat sekalian,
Segala nikmat ini bukanlah kita yang memintanya. Tetapi Allah memberinya untuk kita menjadi insan yang semakin hari semakin bertambah keimanan kita. Kita mesti mengorak langkah dengan menggunakan semua nikmat dariNya dan hanyalah untukNya. Dengan menuntut ilmuNya, menjadikan kita hamba yang taat dan bersyukur. Jangan bezakan apa yang kita tuntut sekarang, iaitu ilmu perubatan dan farmasi dengan keredhaanNya yang menjadi impian yang tertinggi dalam hidup kita.
Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara.
Hargai setiap saatmu.
“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu katakan apa yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (As-shaff, 2-3).
Bukanlah kemurkaan Allah yang kita mahukan, tetapi insyaAllah, keredhaanNya.
Tanpa langkah pertama, tiada yang seterusnya. Sahabat-sahabat,tolibul ilmi sekalian, jangan jadikan ini  sekadar kata-kata, terjemahkan ia. BELAJAR!!!
MUMTAZ DARI RUMAH, tiada yang mustahil. Jom Pakat Study! Wallahua’lam.
~KE ARAH MENJADIKAN AKADEMIK IDENTITI PCZ~
ZAGAZIG ACADEMIC PANELIST
UNIT AKADEMIK PCZ 2011

Tinggalkan komen anda