Home > Menu > Karya > Artikel > Masa itu Kehidupan: Pesanan Biro Akademik Sempena Darurat

Masa itu Kehidupan: Pesanan Biro Akademik Sempena Darurat

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi, wassolaatu wassalaamu ‘ala Rasulillah…

Bagi kita mahasiswa aliran sains kesihatan di Mesir, suka saya mengingatkan situasi semasa yang sedang menimpa kita sejak tiga minggu yang lalu. Kita semua diuji dengan pergolakan politik di Mesir, sehingga ke tahap darurat. Alhamdulillah, Ops Piramid yang dianjurkan Kerajaan Malaysia telah meredakan sedikit sebanyak ketegangan yang dirasai para pelajar dan ibu bapa. Dan kini, kita berada di Malaysia tanah air tercinta dalam keadaan selamat.

Namun, timbul pula satu persoalan. Sehingga kini, masih belum ada lampu hijau untuk menjamin keselamatan kita untuk pulang ke Mesir semula menyambung perjuangan. Tambahan pula, situasi politik di Mesir masih belum stabil, memandangkan penamaan barisan Menteri Kabinet sementara semalam masih mengekalkan beberapa ‘kroni’ dan ‘kawan baik’ bekas Presiden Hosni Mubarak.

Kepulangan ke Malaysia dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak dirancang mungkin sedikit sebanyak memberi kesan terhadap momentum kita sebagai pelajar yang tugasnya menuntut ilmu. Lagi pula, jika ada dari kalangan kita yang belum lagi menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Mungkin sedikit jatuh semangat belajarnya.

Ada dari kalangan kita yang melihat darurat ini sebagai satu bala dan kerugian masa. Namun, membazir masa sahaja jika hendak membahaskan perkara yang dah berlalu. Kita seharusnya melihat ‘kepulangan tak dirancang’ ini sebagai satu peluang, bukannya bala. Rata-rata universiti sudah pun menyatakan tarikh buka kuliah masing-masing, cuma kita menunggu lampu hijau dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) sahaja. Rata-rata universiti bakal membuka kuliah pada awal ke pertengahan bulan Mac (untuk maklumat tepat berkenaan tarikh buka kuliah, sila rujuk Laman Web Rasmi Pelajar Malaysia di Mesir). Maka, kita masih lagi mempunyai masa lebih kurang 2 minggu sementara menanti bermulanya sesi pembelajaran.

Jadi apa nak buat??

Ujian Nikmat Masa Kosong

Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian, sebuah Hadith Nabi SAW., “Dua nikmat yang sering dilalaikan kebanyakan manusia; waktu sihat dan masa lapang”.

Waktu lapang memang diciptakan Allah sebagai satu ujian besar buat manusia. Jika kita isikannya dengan perkara berfaedah, maka kita telah mensyukurinya, tetapi jika kita biarkannya berlalu begitu sahaja atau mengisinya dengan perkara lagho atau maksiat, maka kita telah kufur nikmat.

Marilah kita sama-sama isikan masa lapang kita ini dengan membaca buku-buku ilmiah serta bahan bacaan yang baik. Baik buku-buku medik, buku motivasi, kisah tokoh, buku mendidik jiwa, hatta novel sekalipun, asalkan ianya bermanfaat, maka bacalah ia. Peluang berada di Malaysia ini juga perlu dimanfaatkan dengan aktiviti bersama keluarga. Terkadang kita terlalu asyik keluar berjalan bersama-sama kawan, sehingga jarang sekali beraktiviti bersama keluarga. Ingatlah, hargailah waktu yang sedikit ini dengan ‘keluar’ pula bersama keluarga.

Buktikan Anda Belajar Kerana Allah!

Selalu kita dengar, slogan-slogan seperti, “Jangan belajar sebab exam, sia-sia saja”, juga seperti, “Menuntut ilmu kerana Allah, bukan kerana Exam”.

Namun, sejauh mana kata-kata ini kita buktikan? Bagaimana pula nak tahu jika kita belajar bukan kerana peperiksaan? Caranya mudah sahaja, cuba lihat apa yang kita buat di waktu cuti dan masa lapang! Adakah kita terus mencari ilmu, atau kita menghabiskan maratonmovie, atau maraton di balik selimut?

Biar apa pun yang berlaku, darurat atau aman, kuliah atau cuti, di Malaysia atau Mesir, menuntut ilmu dan menambah maklumat adalah WAJIB bagi setiap manusia yang bergelar MUSLIM, lagi-lagi kalau dia seorang MAHASISWA. Cuti kuliah, jangan diikuti dengan cuti buku!

Bacalah buku-buku atau jurnal kesihatan serta clinical cases untuk memahirkan diri kita dengan masalah-masalah kesihatan di Malaysia dan teknologi terbaru dalam perubatan. Bacalah buku-buku mendidik jiwa. Bacalah buku-buku motivasi dan self-improvement. Banyakkan juga membaca kisah-kisah tokoh Islam dan dunia. Sentiasalah mengambil tahu berita-berita semasa, baik tempatan mahupun dunia.

Kata kuncinya, MEMBACA! IQRA’!

Buat akhirnya, saya ingin mengingatkan sahabat-sahabat sekalian, agar tidak terlalu tergopoh-gapah untuk segera pulang ke Mesir sebelum apa-apa arahan dikeluarkan pihak berautoriti. Ini akan menimbulkan keadaan panik sahaja. Segala maklumat terkini atau arahan berkaitan kuliah insyaAllah akan dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Laman Web Rasmi Pelajar Malaysia di Mesir. Segala maklumat terkini berkaitan ‘lampu hijau’ dan kuliah juga akan disiarkan dalam laman web rasmi PERUBATAN insyaAllah.

Marilah kita sama-sama isikan masa ‘cuti’ kita dengan aktiviti berfaedah, semoga kita menjadi doktor Muslim yang berjaya dan mampu mengubah landskap dunia perubatan di Malaysia ke arah yang terbaik, insyaAllah.

Allah ul-Musta’aan.

You are the asset of the Ummah!

Ahmad Ibrahim Bin Yahaya,
Ketua Biro Akademik PERUBATAN 2010/2011

Penulis merupakan mahasiswa cemerlang yang bukan sahaja aktif dalam persatuan malah turut aktif menulis perkongsian bermanfaat di blognya, http://aiykasim.blogspot.com/

Sumber: perubatan.org

Tinggalkan komen anda