Home > Menu > Karya > Artikel > Krisis Politik Mesir dan Mahasiswa

Krisis Politik Mesir dan Mahasiswa

Hari ini, 12 Februari 2011 merupakan hari yang bersejarah untuk rakyat mesir dengan meraikan kejayaan mereka sebagai rakyat untuk menuntut hak mereka daripada kerajaan. Telah lama mereka mengimpikan saat- saat ini, tetapi hari ini telah menjadi kenyataan. Kejayaan mereka bukan dibayar dengan wang ringgit, pangkat atau pengikut, tetapi kejayaan ini terpaksa dibayar dengan darah kerana beratas-ratus orang telah terbunuh sepanjang tempoh demonstrasi mereka. Kejayaan yang dicapai dengan keperitan akan lebih bermakna berbanding dengan kejayaan yang datang secara tiba-tiba. Itulah yang dinamakan kemanisan dalam perjuangan. Islam pun mengajar kepada kita supaya berusaha untuk mencapai sesuatu kejayaan, maka selepas kita berusaha dengan bersungguh-sungguh barulah kita bertawakal kepada Allah.

“…..kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah, sungguh Allah mencintaiorang yang bertawakal” (3;159)

hosni_mubarak_and_barack_obama

Kejutan untuk dunia

Rata-rata dunia barat hari ini makin tertekan dan terasa terancam dengan kebangkitan umat Islam sejak kebelakangan ini. Mana tidaknya, bermula dengan serangan yang dirancang pada 11 september, mereka beranggapan dunia Islam akan mendapat tempias yang buruk dengan serangan itu.Maka mulalah kempen mereka dengan melebelkan Islam sebagai terrorist ,ulama’-ulama’ di negara Islam ditangkap dan diseksa, atas tiket untuk memburu pengganas. Negara Islam yang anti-Amerika akan dikenakan dengan pelbagai sekatan dan tekanan, media-media yang pro-Amerika akan berusaha keras untuk berkempen kepada dunia bahawa negara yang anti-Amerika tersebut adalah negara yang cuba menggugat keamanan dunia.Itulah perancangan jahat mereka untuk melemahkan kuasa umat Islam.

Namun golongan yang tertindas ini lama kelamaan akan bangkit untuk mempertahankan hak mereka. Fitrah manusia, golongan yang ditindas akan bangkit untuk membela hak mereka, dan pada ketika kebangkitan tersebut, mereka sanggup mengorbankan apa saja termasuk nyawa untuk mengembalikan hak mereka yang telah dirampas.Itulah yang telah berlaku disekitar teluk Arab. Bermula dengan kebangkitan rakyat Tunisia untuk menumbangkan rejim zalim bekas Presiden Zine el-Abidine Ben Ali , perkara tersebut kini telah menular dengan pantas ke negara-negara jiran termasuk Mesir. Kejatuhan rejim bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak telah membuka mata dunia politik bahawa kuasa rakyat adalah kuasa penentu dalam sesebuah negara. Jika kita perhatikan selepas dua peristiwa tersebut, ramai pemimpin kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk meredakan ketegangan situasi politik yang kian merebak ini termasuk menurunkan harga barang-barang di negara masing-masing.

Sejarah itu adalah pengulangan

Di dalam al-quran Allah telah menceritakan bagaimana kisah kezaliman Firaun ketika memerintah Negara mesir.

“…..mereka menimpakan siksaan yang sangat berat kepadamu. Mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan hidup anak-anak perempuanmu, dan pada yang demikian itu merupakan cobaan yang sangat besar dari Tuhanmu” (1;49)

Demikian Allah menceritakan dalam al-quran tentang kisah kezaliman raja Firaun pada masa itu, bahawa mereka menolak dakwah nabi Musa a.s, bahkan mereka melakukan kezaliman kepada rakyat yang mereka perintah.

Suka untuk saya memetik kata-kata seorang ulama’ terkemuka pada abad ini, iaitu syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi , beliau berkata “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah “. Itulah yang berlaku pada masa ini, bermula dengan kisah kezaliman Firaun, Allah telah melemaskan mereka di laut disebabkan oleh kezaliman yang mereka lakukan. Itulah kesudahan bagi mereka yang zalim, tidak kira pada zaman dahulu atau zaman sekarang. Oleh itu, cuba kita bandingkan kisah Firaun itu dengan kisah yang sedang kita saksikan pada zaman ini, iaitu pemerintah yang zalim akan berakhir dengan pengakhiran yang buruk sepertimana yang berlaku ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak dan bekas Presiden Zine el-Abidine Ben Ali.

Peranan mahasiswa dalam pemerintahan

Golongan mahasiswa merupakan golongan muda yang mampu membawa perubahan dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Golongan ini merupakan golongan teras yang perlu diberi perhatian. Corak politik sesebuah negara banyak ditentukan oleh corak politik mahasiswa di kampus. Oleh sebab itu, ada sesetengah pemimpin mengenakan pelbagai sekatan kepada mahasiswa untuk berpolitik dengan alasan menggangu pembelajaran mereka. Sebenarnya mereka takut dengan bayang-bayang, belum pun wajah sebenar yang muncul, melihat bayang-bayang pun mereka sudah lari! Mahasiswa hari ini perlu bijak menentukan masa depan negara kerana kerana kita bakal mewarisi tampok pemerintahan negara kelak. Jika pemimpin hari ini menyeleweng dalam pemerintahan mereka, maka kita akan mewarisi negara ini dengan seribu satu masalah kelak, bermula dengan masalah sosial dalam masyarakat sehinggalah masalah penyelewengan kewangan dalam negara.

Itulah peranan kita sebagai mahasiswa. Jangan kita menyangka bahawa kita tidak boleh melakukan perubahan, tetapi sebenarnya perubahan itu terletak pada tangan kita, terpulang pada kita untuk mencipta perubahan itu. Mahasiswa bangkit!

Nukilan,
Mohd Hazwan bin Rusli
Ketua Biro Pembangunan Insan PERUBATAN
Sumber : PERUBATANOnline

Tinggalkan komen anda