Home > Menu > Informasi > Sejarah PERUBATAN

Sejarah PERUBATAN

Sejarah penghantaran pelajar-pelajar Malaysia ke bumi Mesir bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan bermula sejak tahun 1973 dengan penerimaan rombongan pertama pelajar di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam. Hal ini berterusan sehingga awal dekad 80-an. Malangnya, dekad ini menyaksikan pemberhentian proses penghantaran mahasiswa oleh pihak penaja (kerajaan) dan digantikan dengan penghantaran ke fakulti-fakulti perubatan lain di dalam negara dan juga beberapa fakulti perubatan yang terpilih di luar negara.

Namun begitu,kedatangan para pelajar Malaysia ke republik ini tidaklah terhenti sama sekali. Masih kedapatan segelintir pelajar Malaysiayang mendaftar di fakulti-fakulti perubatan di Mesir dengan biayaan persendirian dan juga tajaan yayasan-yayasan negeri.

Berita penghantaran semula pelajar-pelajar baru tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam memberi ilham kepada para pelajar perubatan Malaysia yang sedia ada di Mesir untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa penaja yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kecil Sambutan Pelajar-Pelajar Baru bagi memudahkan serta melicinkan urusan sambutan pelajar-pelajar baru ini.

Idea ini disokong sepenuhnya oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK) pada ketika itu, Allahyarham Ustaz Wan Bakar bin Wan Dagang. Jawatankuasa sementara ini telah dipengerusikan oleh saudara Ahmad Taqiuddin bin Zakaria dan dibantu oleh beberapa orang pelajar senior yang lain.

Dengan ketibaan pelajar baru seramai 14 orang ini, jawatankuasa kecil ini mula bermesyuarat bagi memilih individu-individu bagi mengisi kekosongan yang ada. Jawatankuasa ini kemudiannya sebulat suara bersetuju untuk mengubah nama yang sedia ada kepada Jawatankuasa Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir atau JAKSAP. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saudara Ahmad Taqiuddin bin Zakaria dan dibantu oleh timbalan beliau, saudari Farah Yasmin binti Mohd. Jais.

Bertitik tolak daripada penubuhan jawatankuasa inilah maka tertubuhnya Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir dengan ringkasannya PERUBATAN, yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan segala hal-hal berkaitan pelajar pelajar perubatan yang kian bertambah bilangannya.

Agenda utama yang digagaskan oleh PERUBATAN setiap tahun adalah menjaga dan memperkasa kebajikan di kalangan ahli di samping mengukuhkan hubungan persaudaraan dan memantapkan perpaduan sesama ahli khasnya, dan sesama umat Islam umumnya. Atas tujuan dan dasar inilah, maka pada setiap tahun PERUBATAN berusaha mengadakan program-program yang dirasakan mampu untuk mencapai matlamat-matlamat yang digariskan tersebut.

2002/2003

  • Bermula dengan penubuhan jawatankuasa sambutan pelajar baru perubatan sesi 2002 oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK).
  • Badan kebajikan ini diterajui tiga pemegang jawatan Majlis Tertinggi (beserta timbalan masing-masing) dan empat pemegang jawatan Biro (beserta timbalan masing-masing) iaitu
    • Akademik dan Penerbitan
    • Kebajikan dan Perumahan
    • Pembangunan Insan
    • Sukan dan Aktiviti Luar

2003/2004

  • Tertubuhnya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
  • PERUBATAN telah diberikan amanah dan tanggungjawab dalam menguruskan segala hal-hal berkaitan pelajar perubatan di Mesir yang kian bertambah bilangannya.

2004/2005

  • PERUBATAN telah didaftarkan secara rasminya di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah tanggal 30 Mac 2005.
  • Lidah Rasmi bulanan PERUBATAN “TIBBIANS” mula diterbitkan dan diedar kepada seluruh pelajar perubatan di Mesir secara percuma.

2006/2007

  • Penubuhan beberapa cawangan dan organisasi PERUBATAN yang baru di universiti-universiti yang terdapat di Mesir yang mempunyai ahli PERUBATAN seperti Iskandariah, Mansura, Tanta dan Zaqaziq
  • Berlakunya pertambahan bilangan ahli PERUBATAN secara drastik dengan kehadiran pelajar perubatan beramai-ramai mencecah 308 ahli lelaki dan 334 perempuan.
  • Seminar PERUBATAN kali pertama bertemakan Ibadah Pesakit buat julung kali diadakan dengan menggabungkan penyertaan pelajar perubatan dan azhari.
  • Pelajar perubatan yang bernaung di bawah syarikat agensi swasta mula menapakkan diri di Mesir
  • Menerima beberapa ahli yang menuntut di Fakulti Sains Kesihatan yang lain seperti Fakulti Pergigian dan Farmasi dari Universiti Mansoura.

2007/2008

  • Penukaran nama daripada Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir.
  • Pengunaan istilah “Chapter” bagi cawangan PERUBATAN di muhafazah digantikan dengan istilah “Cawangan”.
  • Penambahan bilangan portfolio kepada 7 biro iaitu
    • Akademik
    • Pembangunan Insan
    • Kebajikan
    • Penerbitan dan Penerangan
    • Ekonomi
    • Sukan dan Aktiviti Luar
    • Perumahan
  • Melebarkan sayap kebajikan dengan menghantar misi kemanusiaan ke Darfur anjuran bersama PEMUDA MASJID di samping meluaskan hubungan luar dengan menerima kunjungan pertama Majlis Perwakilan Pelajar dari Jordan.
  • Majalah sulung PERUBATAN tahunan “I-Man” diterbitkan dengan tema “New World Medical Order: Middle Eastern Islamist Doctor”
  • Karnival Keluarga Mega PERUBATAN menghubungjalinkan seluruh mahasiswa di Mesir diadakan bagi mengisi ruang waktu cuti musim sejuk seluruh pelajar PERUBATAN di Mesir.
  • Pelajar perubatan meningkat kepada jumlah sekitar 1100 orang.

2008/2010

  • Buat pertama kalinya mewujudkan Tema Tahunan PERUBATAN iaitu “Mengungguli Kecemerlangan Mengerat Kebersamaan”
  • Seminar Kedua PERUBATAN membawa tajuk “Kelahiran dan Kematian” menggabungkan tenaga pembentang dari pelajar perubatan dan azhari
  • Melebarkan sayap jaringan maya dalam bentuk akademik perubatan dengan menubuhkan Portal E-Learning
  • Menerima kunjungan rasmi Majlis Perwakilan Pelajar dari Universiti Malaysia Sabah
  • Pertemuan khas bersama MERCY dalam usaha membantu mangsa perang Gaza.
  • Penggantungan penggunaan fasiliti DMAK oleh JPMK kepada PERUBATAN selama 3 bulan berikutan salah faham mengenai ucapan berbaur politik oleh tetamu dari Malaysia. Rayuan dilakukan namun tidak berjaya.
  • Mesyurat Agung PERUBATAN Pusat ditunda ke bulan Febuari 2010 mengubah tradisi mesyuarat agung PERUBATAN yang seringkali diadakan pada bulan November bagi setiap sesi PERUBATAN. Maka secara tidak langsung, sesi PERUBATAN kali ini mempunyai tempoh yang lebih panjang berbanding yang asal.
  • Jumlah ahli PERUBATAN meningkat setiap tahun sehingga mencecah seramai 3100 orang di seluruh Mesir.

2010/2011

  • Tema tahunan yang mementingkan aspek akademik dan kesatuan iaitu “Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”.
  • Penambahan jawatan Timbalan Presiden I di peringkat cawangan bagi membantu melicinkan tugas-tugas Presiden mula ditubuhkan. Di samping turut memperkenalkan sistem pengekalan 4 orang ajkt di peringkat cawangan dan pusat daripada sesi PERUBATAN yang lalu untuk bertugas pada sesi PERUBATAN yang seterusnya.
  • Seminar Kali Ketiga PERUBATAN bertemakan “Profesionalisme” diadakan di Universiti Kaherah dengan jemputan pembentang khas dari Malaysia di bawah Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Semakan terakhir : 29062011