Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > LAPORAN LAWATAN SYMBATCH 08/09 KE DUMYAT

LAPORAN LAWATAN SYMBATCH 08/09 KE DUMYAT

   Buat julung kalinya PCZ 2011 menganjurkan SYMPHONY OF BATCH’S DAY OUT (SYMBATCH 08/09) pada hari jumaat yang lalu bertemakan “WE ARE FAMILY”. Lawatan   ke Dumyat ini diadakan pada hari jumaat, 21 Januari 2011 disertai seramai 99 pelajar tahun tiga Perubatan Zagazig bersama beberapa pelajar senior tahun lima merangkap kakak naqibah Smart Circle.
   Objektif lawatan dan berkelah tersebut adalah bertujuan untuk mengumpulkan mahasiswi-mahasiswi Perubatan Zagazig generasi 08/09 di samping mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli Smart Circle yang dipimpin oleh kakak naqibah masing-masing.
  Perjalanan dari Zagazig ke Dumyat bermula pada pukul 7.30 pagi dan sampai pada pukul 10.00 pagi. Sepanjang perjalanan 2 jam setengah, pelbagai pengisian dilakukan oleh adhoc-adhoc yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini antaranya ialah kami diingatkan untuk mentajdidkan niat untuk lawatan ini. Selain itu,pelbagai informasi disampaikan oleh beberapa orang musyrif yang terlibat. Pengalaman makan sarapan mengikut kumpulan Smart Circle di dalam bas sangat mencuit hati. Kami saling bertukar-tukar makanan sesama sendiri supaya dapat merasa bermacam-macam jenis hidangan. Perjalanan terasa sangat lama kerana kami tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki ke tepi pantai.
  Setibanya di destinasi yang dituju, kami berkumpul di tepi pantai bagi memulakan beberapa aktiviti untuk memanaskan badan. Pelbagai jenis senaman diselitkan bagi menghiburkan kami semua. Usai senaman itu, kami seperti anak-anak kecil berlari kegirangan menuju ke pantai untuk memulakan acara kemuncak iaitu mengutip kerang. Berbagai-bagai gaya dapat dilihat dalam kalangan kami sendiri kerana masing-masing cukup bersemangat untuk mengutip kerang sebanyak yang boleh. Hal ini kerana, kami dimaklumkan bahawa akan diadakan pertandingan bagi melihat kumpulan Smart Circle yang manakah dapat mengumpul paling banyak. Walaupun pertandingan ini adalah gurauan semata-mata, namun ia tidak menghampakan kami kerana di sini lah terbitnya kerjasama dan ikatan ukhuwah yang semakin erat. Perasaan kagum dan puas hati jelas terpancar di wajah masing-masing setelah 1 jam bertungkus-lumus memenuhkan beg plastik yang besar.
  Selepas sesi bergambar bersama kerang masing-masing, kami dihidangkan pula dengan aktiviti mengutip gula-gula yang telah ditimbus dalam pasir pantai. Geli hati melihat pelbagai ragam dalam usaha mencari gula paling banyak. Setelah itu, barulah kami bersama kumpulan SC masing-masing untuk menyantap hidangan yang telah dimasak mengikut pembahagian tugas. Berlatar belakangkan laut yang terbentang luas, kami menjamu selera dengan enaknya kerana rasa lapar dan penat setelah mengutip kerang.
  Sebelum bertolak pulang, kami terlebih dahulu singgah di Ra’sul Bar iaitu tempat pertemuan antara sungai dan laut sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran. Sungai yang terpanjang di dunia iaitu Sungai Nil bertemu dengan Laut Mediteranean bersaksikan menara yang berada betul-betul di lokasi strategik ini. Sesi bergambar bersama satu batch adalah paling menggembirakan bertepatan dengan waktu senja dan melihat terbenamnya matahari. Sesungguhnya pengalaman menjejakkan kaki ke sini sangat berharga selain dapat melihat keindahan dan kesempurnaan ciptaan Allah.
  Walaupun lawatan seumpama ini pertama kali dianjurkan, namun lawatan seperti ini sangat mengujakan semua peserta. Tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakannya. Harapan kami agar tidak seorang pun ketinggalan untuk terlibat dalam lawatan yang akan datang.
Sekian Terima Kasih

Tinggalkan komen anda