Home > Menu > Karya > Artikel > Sihat ; Menuju MUMTAZ

Sihat ; Menuju MUMTAZ

Dalam kesibukan kita memperhebat persiapan untuk menghadapi imtihan yang semakin hampir, kita sering terlupa untuk menitik beratkan aspek kesihatan. Mungkin  ada dalam kalangan kita yang mengatakan masa sekarang hanya untuk belajar dan tiada masa untuk bersibuk-sibuk dengan perkara-perkara lain, tetapi ingatlah “Akal yang sihat (cerdas) datangnya dari tubuh badan yang sihat (cergas)”. Oleh itu, waspadalah dengan kesihatan diri kita dan pastikan kondisi kesihatan kita berada di tahap yang baik.

Sebagai pelajar, kita memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian dan mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan malah boleh menjejaskan prestasi serta konsenterasi semasa menjawab peperiksaan nanti.

Tidur secukupnya

Tempoh masa tidur yang ideal adalah di antara 6 hingga 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan kita rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tambahan pula penyimpanan maklumat jangka panjang berlaku semasa tidur. Namun, mereka yang gemar tidur lewat akan menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu.

Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Justeru, menjadualkan masa tidur secara sistematik adalah penting. Jika tidak, perbuatan tersebut akan mengundang masalah untuk tidur pada malam seterusnya. Jadi, pastikan kita melatih diri kita dengan masa tidur yang optimum ini bermula dari sekarang.

Selain itu, rajin-rajinlah bangun menunaikan solat tahajud kerana selain daripada mendekatkan diri dengan Al-Hakim, oksigen dari atmosfera sekitar jam 3 pagi, ditambah dengan pergerakan otot-otot badan, akan melancarkan pengaliran darah dan menjadikan kita segar dan bersemangat untuk mengulangkaji pelajaran selepas itu.

Jaga pemakanan.

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya “Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan” (Al-Baqarah : 57). Apa yang dimaksudkan sebagai yang baik di sini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Pastikan kita memilih makanan dari sumber yang halal serta menepati mafhum ayat tadi. Hal ini kerana makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati. Elakkan juga makan terlalu banyak makanan ringan.

Bahaya makanan ringan:

1.Darah tinggi kerana kandungan lemak tepu yang terkandung di dalamnya menyempitkan pembuluh darah.
2.Asma kerana kurangnya pengambilan sayur-sayuran, vitamin E,  zat-zat logam dan susu.
3.Sakit jantung kerana kandungan lemak tepu dan kolestrol.
4.Kesan pada  fungsi otak kerana ia mampu mengurangkan konsentrasi dan daya ingatan seseorang individu.

Makanan yang mudah tapi banyak kebaikannya:

1.Madu campur air
Apabila madu ditambah dengan sedikit air, ia menyerap ke dalam darah dalam masa 7 minit dan dapat         dimanfaatkan sepenuhnya oleh otak
2.Buah tamar
Mengandungi kandungan air, karbohidrat, serat yang tinggi dan kadar lemak yang rendah.

Ikhlaskan niat

Selain daripada menjaga kesihatan fizikal kita, persediaan dari segi mental juga penting dalam memastikan diri kita bersedia untuk menghadapi imtihan. Berfikiran positif dapat membantu kita memotivasikan diri sendiri untuk berusaha sehabis baik untuk memperoleh mumtaz. Namun, jangan kita lupa untuk sentias memperbetul niat kita iaitu hanya kerana Yang Maha Pencipta. “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang itu akan menerima ganjarannya sesuai dengan apa yang diinginkannya(niat)”.

Justeru, kita sebagai manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran oleh Allah, sewajibnya bagi kita menjaga amanah Allah ini dengan sebaiknya. Surah Al Ra’d ayat 28, maksudnya: “Ketahuilah dengan berzikir kepada Allah, hati-hati akan merasa tenang”. Semoga kita semua dapat menempuhi imtihan dengan tenang dan jayanya, insya Allah.

Disediakan oleh,
Attiqah bt Zamrie
(Unit Kebajikan)

Tinggalkan komen anda