Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > Fatayat Games 2009 : “Perkasakan Ukhwah Teguhkan Wehdah”

Fatayat Games 2009 : “Perkasakan Ukhwah Teguhkan Wehdah”

11 Disember 2009,Istad Gamaah Zagazig,bertemakan “Perkasakan Ukhwah Teguhkan Wehdah” , Fatayat Games 2009 telah berlangsung di bawah anjuran Unit Kebajikan ( Sukan & Aktiviti Luar Organisasi Perubatan Zagazig.Program ini telah disambut meriah dengan kehadiran 157 orang peserta yang menampilkan 7 kumpulan gabungan tahun 1,2 dan 4 akhawat Sains Kesihatan di bumi Zagazig. Pendaftaran bermula pada pukul 7.00 pagi diceriakan dengan penampilan pelbagai ragam peserta sebagai identiti kumpulan masing-masing.

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli oleh taklimat disiplin .Seterusnya ucapan pengarah program, Dr.Nafsah bt Dulajis menyemarakkan lagi semangat para peserta untuk meneruskan aktiviti ini.Program ini telah dirasmikan oleh wakil daripada PERUBATAN pusat, Dr. Natrah bt Ahmad Kamil (Timb. Ketua Biro Pembangunan Insan) yang turut merasmikan pelancaran Smart Circle Zagazig peringkat akhawat.

Senaman aerobic yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi secara tidak langsung menjadi aktiviti regangan dalam usaha memantapkan lagi prestasi para peserta yang bakal beraksi dalam Fatayat Games. Taklimat ringkas berkaitan permainan diberikan kepada para peserta sebelum berlangsungnya perlawanan yang bermula pada pukul 8.55 pagi. Perlawanan futsal dan bola keranjang telah membuka tirai perlawanan pada temasya sukan pada kali ini. Kedua-dua perlawanan sengit tersebut mengambil masa selama 1 jam setengah. Aktiviti sukan seterusnya dirancakkan dengan perlawanan Fatayat Explorace.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan dalam acara fatayat Explorace seperti Musang Berjanggut, Sudoku, Hafazan dan lain-lain. Tidak ketinggalan, acara fatayat Champion yang berlangsung serentak dengan Explorace turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta. Acara menarik ini mengkehendaki para peserta mereka ‘kostum’ bertemakan busana muslimah menggunakan hanya surat khabar. Fatayat Games 2009 telah berjalan lancar dan pelbagai gelagat serta aksi menarik para peserta dapat ditonton. Masing-masing berusaha gigih untuk mencapai misi bergelar juara Fatayat Games 2009.
Roti jala, nasi lemak, lepat pisang, rojak buah, nasi kerabu dan beraneka snek makanan ringan menjadi menu gerai jualan pada hari tersebut. Selain itu, pihak pengurusan turut menyediakan ‘burger’ Malaysia dan roti berjem sebagai sarapan pagi untuk semua peserta. Aktiviti yang diharapkan dapat mengukuhkan ikatan ukhwah antara mahasiswi Sains Kesihatan ini diakhiri dengan pengumumam keputusan pemenang bagi setiap permainan dan majlis penyampaian hadiah. Gelaran Johan keseluruhan Fatayat Games disandang oleh kumpulan 6 manakala anugerah kumpulan terbaik disandang oleh kumpulan 7.

Fatayat Games 2009 pada kali ini,diharapkan berjaya memupuk semangat dalam kalangan ahli-ahli Sains Kesihatan agar menjadikan sukan sebagai satu ibadah dalam kehidupan di samping menggalakkan ahli untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Pada pukul 12.30 tengahari Fatayat Games 2009 berakhir dan para peserta bersurai.

Tinggalkan komen anda