Home > Menu > Karya > Artikel > Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza

Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza

Salam ukhwah dan salam ramadhan buat sahabat-sahabiah khususnya pelajar-pelajar perubatan di bumi Zagazig. Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat berpuasa dan menghayati tarbiyyah ramadhan walaupun sudah separuh ramadhan kita tempuhi dan hampir menuju penamatnya. Moga-moga madrasah ramadhan yang telah kita tempuhi merupakan hari-hari terbaik yang kita lalui dan sudah semestinya kita mengharapkan agar hari yang mendatang akan menatijahkan sesuatu yang paling baik buat kehidupan kita.

Sahabat-sahabiah sekalian,

Kita wajib bersyukur kerana masih lagi di beri ruang dan peluang oleh ALLAH S.W.T untuk merasai dan menghayati keberkatan bulan yang paling mulia ini.Manfaatkanlah ramadhan ini dengan sebaiknya kerana kita masih belum pasti samada kita akan di beri peluang yang sama pada tahun hadapan. Seandainya ini adalah ramadhan yang terakhir bagi kita,kita mesti pastikan inilah yang terbaik yang penah kita lalui dan hayati.Baginda Nabi Muhammad SAW penah bersabda:

“sangat malang bagi orang yang berkesempatan melalui ramadhan tetapi tidak di ampunkan dosanya”

(HR: Ibnu Khuzaimah,Al Baihaqi)

Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan paling afdal bagi umat Islam. Di dalamnya,ALLAH SWT melipat gandakan pahala bagi hamba-hambanya yang melakukan amalan kebaikan. Jadi tidak hairanlah jika orang yang betul-betul beriman sangat merindui dan sentiasa mengharapkan akan kehadiran bulan yang mulia ini.Kita sebagai hamba-Nya yang lemah sepatutnya menghidupkan bulan mulia ini dengan segala amal kebaikan dan kebajikan kerana ibadah yang di lakukan pada bulan ramadhan terutamanya ibadah puasa akan di nilai secara khusus oleh ALLAH SWT dan di beri ganjaran yang istimewa.Ini bertepatan dengan Hadis Qudsi :

“puasa adalah untuk KU dan AKU yang kurniakan nilaian baginya”

(ABU HURAIRAH R.A)

Sabahat-sahabiah sekalian,

Keberkatan Ramadhan telah di buktikan dengan barlakunya beberapa peristiwa penting dalam sejarah kebangkitan dan perjuangan Umat Islam.K ita sewajarnya mengambil pengajaran dari peristriwa-peristiwa tersebut.Di antara peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam bulan yang mulia ini adalah:

1-Penurunan Al-Quran:

”sesungguhnya Kami telah menurunkan(Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar”- Surah Al-Qadr:1

2-Kewajipan berpuasa – Surah Al-Baqarah:183
3-Tercetusnya peperangan Badar Al-Kubra – Surah Al-Anfal:42
4-Pembukaan Kota Mekkah
5-Peperangan Al-Qudsiah dan peperangan Ain Jalut

Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang bulan ramadhan. Ini membuktikan yang ibadah puasa tidak sepatutnya di jadikan alasan untuk kita berehat dari memperjuangkan agama ALLAH dan melakukan amal ibadah sebanyak-banyaknya.

Seterusnya mari kita lihat pula fadhilat dan kelebihan yang ALLAH SWT kurniakan kepada hamba-Nya yang menghayati dan meghidupkan madrasah ramadhan ini.Moga-moga selepas ini kita akan lebih menghargai dan melipat gandakan amalan kita di dalam bulan yang mulia ini. Antaranya ialah:

1-Puasa fardhu – daripada Abu Hurairah R.A meriwayatkan daripada Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, maka akan di ampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”

2-Malam Lailatul Qadar-Surah Al-Qadr: 1-5 menerangkan akan kelebihan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

3-Di turunkan Al-Quran-Surah Al-Baqarah:185

4-Pintu-pintu langit di buka, pintu-pintu neraka di tutup dan syaitan di belenggu – Abu Hurairah RA berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apabila datang bulan ramadhan,maka dibuka pintu-pintu langit, dikunci (ditutup) pintu-pintu neraka dan syaitan dibelenggu”

5-Solat terawih
6-Penghulu segala bulan-daripada At-Tabrani meriwayatkan daripada Abdullah ibn Mas’ud:

“Penghulu bagi segala bulan adalah bulan ramadhan, dan penghulu bagi segala hari adalah hari jumaat”

Begitulah banyaknya kelebihan dan fadhilat yang ALLAH SWT kurniakan kepada hamba-hambaNya di bulan Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengambil peluang ini dengan sebaiknya. Moga-moga kita tergolong dalam golongan hambaNya yang beruntung dan berjaya.

Sahabat-sahabiah sekalian,

Akhirnya, sekali lagi kami pimpinan Organisasi Perubatan Zagazig bagi sesi 2008\2009 ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menghayati tarbiyyah ramadhan walaupun ianya sedikit terlewat untuk di ucapkan. Moga-moga fatrah rahmat dan keampunan dari dosa-dosa yang lalu telah kita lalui dengan jayanya dan kita mengharapkan agar fatrah ataupun fasa terlepas dari api neraka dapat kita lalui dengan sebaiknya. Ramadhan yang sama, tapi pastikan natijahnya berbeza.

Salam Ramadhan Kareem….

ketua
Khas daripada Kepimpinan OPZ 2008/09

Tinggalkan komen anda